Kalau Tak Mahu Diganggu Hantu, Jangan Baca Mantera Jailangkung!

Kalau Tak Mahu Diganggu Hantu, Jangan Baca Mantera Jailangkung!

Filem seram Indonesia, Jailangkung lakonan dua bintang muda yang sedang meningkat naik, Jefri Nichol dan Amanda Rawles kini sedang hangat ditayangkan di pawagam Malaysia.

Jailangkung menerima respon yang sangat baik dan mendapat kunjungan lebih dua juta penonton di pawagam-pawagam Indonesia.

Namun begitu, tahukah anda apakah sebenarnya yang dimaksudkan dengan Jailangkung? Astro Gempak membantu untuk menyingkap asal usul Jailangkung:

Jailangkung merupakan suatu permainan tradisional nusantara yang bersifat ritual. Selalu dikaitkan dengan aktiti mistik, jailangkung digunakan sebagai salah satu cara untuk memanggil makhluk halus datang ke dunia manusia.

Diperbuat dari gayung air, kayu dan tempurung kelapa kering, objek-objek tersebut akan dibentuk seperti boneka yang mempunyai pemegang kayu dan dipakaikan baju.

Biasanya, permainan jailangkung ini akan dimainkan oleh tiga orang, dua orang akan memegang boneka jailangkung dan seorang lagi akan membaca mantera bagi menyeru makhluk halus.

Permainan ini selalunya dimainkan pada waktu senja dan ritualnya akan dilakukan di tempat yang 'keras'.

Jailangkung biasanya dimainkan secara beramai-ramai kerika bulan terang dan apabila makhluk halus datang, 'mereka' akan memperkenalkan diri dan bercerita dengan menggunakan bantuan alat tulis.

Permainan ini juga memiliki berbagai macam versi mantera untuk memanggil makhluk halus.

'Jelangkung jelangsat, di sini ada pesta, pesta kecil-kecilan, jelangkung jelangsat, datang tidak diundang, pergi tidak dihantar' merupakan mantera yang sering digunakan oleh rakyat Indonesia.

Versi filem Jailangkung yang sedang ditayangkan juga mempunyai mantera sendiri yang kedengaran lebih seram iaitu 'jailangkung, jailangkung, di sini ada pesta kecil-kecilan, datang gendong, pulang bopong.'

Mantera tersebut dilafazkan berkali-kali. Setelah makhluk halus diyakini sudah masuk ke dalam boneka, maka pemain dapat bertanyakan soalan yang mereka mahu tahu jawapannya. Pertanyaan tersebut akan dijawab dengan alat tulis yang diikat di bawah boneka tersebut.

Menurut mitos orang tempatan, masalah sering terjadi apabila permainan ini diakhiri tanpa melepaskan semula makhluk halus yang sudah memasuki boneka tersebut.

Dipercayai yang makhluk halus itu menjadi marah dan mula membuat masalah seperti merasuk pemainnya.

Jangan lupa saksikan filem seram Jailangkung yang dijayakan oleh Jefri Nichol, Amanda Rawles, Wulan Guritno, Hannah Al Rashid, Lukman Sardi dan ramai lagi.

Filem yang dibawakan oleh Astro Shaw ini mula ditayangkan di pawagam Malaysia bermula 10 Ogos 2017.

Teks oleh: Kamaruddin Razal
Sumber: Faktakah.com, Juraganmumut.com, Wikipedia.

 


Sumber : AstroGempak

No comments:

Post a Comment

Pages